

Nadia - Realiti Jadi Artis
Monday, September 1, 2008
Oleh NIEZAM ABDULLAH
Solekan & dandanan ZULFAZLI SUHADI (019-6106969)
Pakaian ZAMBRI BEAUTY INSPIRATION (012-7804272)
TIDAK bergelar juara tapi sebenarnya jadual Nadia, bekas pelajar Akademi Fantasia Keenam (AF6) ini agak sibuk. Mengambil masa hampir sebulan sebelum fotografi ini boleh dilakukan kerana jadualnya yang padat dengan promosi bersama Astro selain menghadiri beberapa aktiviti pertunjukkan pentas.
Yalah, itulah yang perlu dibayar untuk menjadi seorang artis. Bukan mudah sebenarnya. Hujung minggu jangan harap boleh bersama keluarga dan rakan-rakan. Mengadakan sesi fotografi kali pertama sebagai penghias muka depan Pancaindera ini, saya dapat lihat Nadia mempunyai sesuatu keistimewaan.
Apa itu? Sebagai artis baru dia tidak kekok atau tak macam tunggul kayu ketika diminta beraksi. Dalam masa yang sama dia juga seorang yang fotogenik. Mudah untuk dipelbagaikan ketika berada di hadapan kamera.
Bukannya apa, sesetengah bakat baru, apabila disuruh memberikan pose menarik, mulalah garu kepala. Ada pula berdiri macam tiang bendera.
Melihat kepada kelebihan Nadia yang tak sukar untuk membentuk imejnya, tidak mustahil dia boleh menjadi artis yang berjaya walaupun Nadia bukannya juara dalam pertandingan realiti itu. Dan selepas tiga bulan keluar dari rancangan tersebut, Nadia baru merasai suasana sebenar menjadi artis. Tidak semudah yang disangka katanya.
Susah nak kaya
Bukan saja Nadia tetapi kebanyakan orang di luar sana pun mempunyai tanggapan yang sama. Iaitu sesiapa yang menjadi artis tentu sahaja akan cepat kaya.
Nadia atau nama sebenarnya Nadia Haswani Hasnan ini turut mempunyai persepsi yang sama tatkala dia belum bergelar bintang seperti hari ini.
Yalah, artis apabila di luar kelihatan mewah hidup mereka. Pakai kereta mewah, motor besar dan pakaian yang mahal-mahal harganya. Mewah benar nampak mereka. Tapi selepas tiga bulan menjadi artis secara sepenuh masa, bukan mudah sebenarnya untuk mencari rezeki.
Hari ini Nadia sendiri melalui pengalaman itu. Bukan sahaja menghadapi kesusahan, dalam masa yang sama terpaksa pula berhadapan dengan tohmahan masyarakat.
Yalah, jadi artis tidak semudah yang disangka. Nak harapkan wang yang banyak itu tak payahlah hendak bermimpi. Pendek kata tak semua artis itu bernasib baik macam Mawi atau Datuk Siti Nurhaliza.
‘‘Baru sekarang Nadia rasa menjadi artis ini memang teruk cabarannya berbanding mereka yang memilih untuk menjadi orang biasa.
‘‘Dulu Nadia fikir bila jadi artis mudah kita nak kaya. Tapi bukannya senang. Banyak usaha yang perlu kita buat sebelum mencapai kedudukan itu,’’ katanya. Tidak menyesal memilih profession ini, Nadia sudah mempersiapkan dirinya untuk menjadi seorang artis berjaya suatu hari nanti.
Tidak menafikan perlu bekerja keras buat masa ini tetapi beliau yakin suatu hari nanti kejayaan akan berpihak kepadanya asalkan usahanya itu mendapat sokongan semua.
Memang menjadi hasrat semua insan untuk hidup mewah tetapi Nadia percaya dia perlu bersaing untuk mencapai kejayaan itu kerana hari ini bilangan artis semakin bertambah.
‘‘Seseorang artis baru tak boleh mengharapkan orang lain untuk berjaya sebaliknya diri sendiri.
‘‘Dalam masa yang sama kita kena bijak merancang macam mana hendak maju dalam bidang yang dipilih. Tak boleh duduk diam apatah lagi persaingan dalam dunia hiburan hari ini semakin sengit,’’ katanya.
Tubuh kumpulan muzik
Popular menerusi single Kalut Lagi Mengarut, ujar gadis berusa 18 tahun ini, salah satu hala tujunya dalam bidang seni ialah untuk menubuhkan sebuah kumpulan penari sendiri.
Untuk mempersiapkan diri menuju impian tersebut, ujar Nadia beliau perlu mempunyai kemahiran khusus dalam bidang tarian agar hasratnya itu dapat dilaksana.
Mengakui sedang mengikuti kelas dengan guru tari Linda Jasmin, Nadia percaya apabila mahir dalam bidang tarian, tentu sahaja dia akan membuktikan kata-katanya itu.‘‘Buat masa ini saya ikuti kelas tarian dengan Cikgu Linda dan selepas itu saya nak buka peluang mereka yang ada kebolehan dalam bidang nyanyian dan tarian menyertai kumpulan ini,’’ katanya.
Tidak menetapkan bila masanya akan ditubuhkan tetapi dia mahu melihat kumpulan itu nanti diminati oleh penonton dengan aksi dan tarian yang luar biasa untuk dipersembahkan.
Cabaran yang sukar
Menjadi seorang artis selain berhadapan dengan kritikan orang ramai tetapi Nadia percaya dia perlulah bersiap sedia untuk menempuh segala macam asam garam dan dugaan yang tidak diduga. Bukan perkara mudah tetapi akui gadis ini cabaran yang sukar untuk menjadi artis apabila menyentuh soal peribadi.
Tidak menafikan kadang-kala takut dengan segala macam kritikan tetapi hakikat itu diterima dengan hati terbuka kerana Nadia sendiri yang memilih bidang tersebut sebagai kerjayanya.
Dan beliau juga percaya tanpa kritikan dan juga nasihat daripada orang di luar sana, tentunya seseorang artis itu sukar untuk berjaya.
‘‘Selepas keluar dari AF, memang Nadia sukar nak berhadapan dengan segala macam tohmahan orang ramai tetapi lama-kelamaan Nadia boleh menerimanya,’’ kata beliau.
Salah satu cara untuk berjaya, seseorang artis itu perlu menerima segala gosip dan kritikan dengan baik dan tidak mudah untuk melenting.
Prinsip gadis ini, jika sesuatu perkara yang ditimbulkan mengenainya tidak betul, jalan terbaik adalah dengan menutup mulut.
Tidak mahu cepat melatah adalah prinsipnya tetapi dalam masa yang sama Nadia cuba untuk mengelak segala macam bentuk gosip murahan yang mungkin boleh menjatuhkan kerjayanya.‘‘Tak dinafikan pada masa akan datang mungkin akan ada macam-macam dugaan dalam diri kita tetapi Nadia pegang kepada satu cara iaitu setiap masalah itu mesti ada jalan untuk menyelesaikannya,’’ akui beliau.
Jaga perlakuan
Dalam dunia siber hari ini ramai yang menyalahgunakan kemudahan dengan memaparkan kisah dan gambar peribadi masing-masing di dalam internet.
Terbukti sudah sejak kebelakangan ini apabila gambar-gambar tidak senonoh artis tersebar dengan mudah. Nadia turut melihat perkembangan itu dan bimbang sekali peristiwa serupa berlaku terhadapnya.
Menyedari seseorang perlu menikmati kemudahan alam siber hari ini, sebagai artis perkara-perkara peribadi tidak perlu untuk dikongsi dengan orang ramai.
Sebagai artis mereka harus tahu menilai wajar atau tidak sesuatu perkara itu dilakukan apatah lagi jika ia boleh memberi kesan buruk kepada diri masing-masing.
‘‘Kalau ada perkara yang boleh dianggap rahsia, tak perlu nak hebahkan di dalam blog atau web masing-masing kerana ia boleh diceroboh dan disalahguna orang orang yang berniat jahat,’’ katanya.
Hargai pengorbanan orang lama
Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51, sebagai rakyat Malaysia, dia berasa bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah negara yang aman dan damai.
Menjadi rakyat Malaysia adalah sesuatu yang istimewa kerana masyarakat boleh hidup harmoni dalam negara berbilang kaum.
Dalam mengharungi kejayaan negara hari ini, tentu sahaja mereka yang selama ini bersusah payah untuk membangunkan negara tidak harus dilupakan.
Dan setiap rakyat Malaysia itu perlulah melihat perjuangan orang-orang lama dalam menuntut kemerdekaan daripada tangan penjajah agar semangat cintakan negara itu sentiasa mekar.
‘‘Walaupun Nadia tidak pernah hidup sebelum merdeka tetapi sebagai warganegara kita hendaklah menghargai jasa orang-orang lama.
‘‘Dalam masa yang masa masyarakat juga hendaklah berfikiran luas seiring dengan kemajuan negara tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan sejarah silam susah payah nenek moyang kita mempertaruhkan nyawa untuk merdeka,’’ katanya.
info credit to :www.utusan.com.my
Posted by Ria's Zone at 8:01 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment