Oleh FIRDAUS SAHAT
LANGIT biru nan cerah bersama hembusan angin menerpa wajah Riz tatkala memandu uji kereta Lotus, baru-baru ini. Mungkinkah kereta mewah itu kepunyaan naib juara Akademi Fantasia 6 (AF6) ini untuk bergaya sempena Aidilfitri?
Namun jangan salah sangka. Sempat melaram dengan kereta bernilai RM240,000 itu sekadar memenuhi tuntutan Selebriti Metro Ahad untuk sesi fotografi hasil kerjasama Lotus Cars Malaysia.
Nampak cantik dan sama padan, siapa tahu, mungkin satu hari nanti dia bakal memilikinya.
Kata Riz atau nama sebenarnya Mohammed Idris Mohd Zaizizi, pengalaman memandu kereta sukan itu sungguh menyeronokkan. Malah secara seloroh, jejaka berasal dari Grik, Perak ini juga berangan-angan mahu memandu pulang kereta itu satu hari nanti.
“Siapa yang tidak bangga memandu pulang sebuah kereta ‘sport’? Bayangkan saja, sudah lama tidak pulang ke kampung dan tiba-tiba muncul dengan kereta mewah, lebih-lebih lagi di musim Aidilfitri, ia pasti menyeronokkan. Insya-Allah, jika ada rezeki lebih, saya mahu memilikinya.
“Begitupun, masih banyak yang perlu diusaha dan utamakan seperti keluarga dan sebagainya. Jadi, dalam masa terdekat ini saya terpaksa menolak ketepi hajat untuk memiliki kereta itu,” katanya.
Tahun ini, Riz menyambut Syawal penuh makna ini di kampung halamannya di Grik. Sebagai tahun pertama beraya sebagai artis, banyak pengalaman baru buatnya.
“Selama ini, saya sering bermimpi bagaimanakah perasaan menyambut hari raya sebagai artis. Pasti ia menyeronokkan di samping keletihan melayan peminat yang datang.
“Sebelum inipun saya kerap kali mendengar kata-kata artis yang lebih senior daripada saya. Kata mereka, hari raya adalah hari paling sibuk buat mereka. Kini, saya sendiri melaluinya.
“Hari pertama menyambut lebaran sungguh mendebarkan saya. Macam-macam yang bermain di fikiran. Adakah teratak saya akan dipenuhi peminat atau sepi dan tidak meriah? Namun, semuanya terjawab apabila kanak-kanak, rakan dan peminat silih berganti datang beraya. Terima kasih kepada mereka semua.
“Lagipun, ketika mengadakan rumah terbuka di kampung bersama peminat, macam-macam ragam dan kerenah mereka perlu saya layan. Sekalipun penat, ia sungguh menyeronokkan. Ia pengalaman berharga buat saya,” katanya.
Tambah Riz, walaupun hampir seminggu beraya, rumahnya masih menerima kunjungan peminat hinggakan dia sukar meninggalkan kediamannya untuk beraya.
“Bermula raya pertama hingga hari ini, saya masih lagi melayan kunjungan peminat. Mereka bagaikan penyeri rumah saya di Aidilfitri.
“Sehingga hari ini juga, rancangan untuk beraya ke rumah saudara mara dan kenalan juga terpaksa diketepikan dulu.
“Jika saya keluar, peminat yang datang tidak dapat berjumpa saya pula. Jadi, saya akan menunggu masa sesuai untuk beraya.
“Lagipun, kita beraya selama sebulan, jadi saya punya banyak masa untuk merayakannya,” katanya.
Menyentuh soal kariernya pula, dalam diam, jejaka berusia 22 tahun ini sudah melangkah ke studio rakaman bagi merakam dua lagu baru berjudul Bermula Semula dan Harusku Yang Pergi.
Katanya, proses rakaman itu diadakan di studio Wake The Baby milik Ajai.
“Insya-Allah, jika tiada aral, dua lagu ini akan disiapkan secepat mungkin. Kemudian, antara satu akan dipilih untuk menjadi single pertama saya.
“Selepas itu, baru lagu duet bersama Alya berjudul Ku Pinjam Satu Bintang akan ditolak menjadi single kedua saya. Bercerita soal album pula, saya masih perlu mengkaji pasaran kita terlebih dulu.
“Lagipun saya mengeluarkan modal sendiri, jadi tidak salah untuk saya mengambil sedikit masa sebelum mengeluarkannya.
“Namun, jika mahu diikutkan, saya sudah memiliki lima lagu sendiri. Jadi, untuk membuat album penuh, saya hanya perlu mencari sekurang-kurangnya tiga lagu baru sebelum semuanya digabungkan dalam satu album.
“Namun, ia bukan perkara mudah. Jadi, biar saya mengutamakan single dulu,” katanya.
Info & Pic : Harian Metro
0 comments:
Post a Comment