Serasi dan secocok. Itulah perkataan yang terucap di bibir saat melihat keletah dua bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim ke enam, Mohammed Idris Mohd Zaizizi (Riz), dan Nadia Haswani Hasnan (Nadia) apabila digandingkan dalam satu sesi fotografi khas raya.
Usik mengusik antara mereka memperlihatkan betapa rapatnya hubungan mereka berdua, tetapi jelas Nadia dan Riz jangan disalah sangka keterbukaan dan kemesraan itu sebagai hubungan kekasih.
Sambung mereka lagi, kerana selalu digandingkan dalam persembahan dan sesi fotografi, hubungan yang terbina sejak di akademi telah berlarutan hingga kini.
"Kami hanya kawan dan bagi saya Riz sudah macam abang, kalau orang lihat kami suka menyakat antara satu sama lain, itu perkara biasa.
"Kalau dengan kawan-kawan lain yang saya rapat pun, saya akan macam itu, jadi janganlah kata kami ini kekasih, nanti takut pula orang yang mahu mengurat saya," seloroh Nadia sambil diiringi deraian hilai tawa.
Balas Riz pula, kerana keserasian mereka di pentas, mereka sering dicap sebagai pasangan bercinta, walhal hubungan mereka ikhlas tidak lebih daripada sahabat...
"Ada juga peminat yang suka kami bersama, sampai ada sebuah kelab peminat khas untuk kami berdua, tetapi tidak apa asalkan mereka mahu menyokong kerjaya kami, saya tidak kisah," kata Riz.
Nadia beraya sakan
Bercerita tentang raya tahun ini, terus sahaja mereka terdiam sejenak, lalu memberitahu raya kali ini memang banyak bezanya dengan sambutan raya sebelum ini.
Ini kerana tahun ini merupakan sambutan raya yang pertama mereka sebagai artis. Pastinya persiapan serta debaran raya tidak seperti dulu keranab di mana sahaja mereka melangkah, pasti ada mata yang memandang.
"Memang tahun ini berbeza sungguh, kalau dulu baju raya sekadar dua pasang saja, tetapi tahun ini memang banyak. Ada yang biasa, ada juga baju yang glamor habis.
"Kalau dulu, tidak terfikir mahu beli banyak baju dengan pelbagai fesyen, tetapi tahun ini memang harus sebab sebelum raya dan selepas raya banyak majlis yang perlu saya hadiri," kata Nadia.
TIDAK mahu hubungan mesra disalahertikan oleh masyarakat dan peminat.
Sungguhpun baru berusia 18 tahun, gadis berkulit hitam manis ini memberitahu, tahun ini juga merupakan tahun pertama dia memberi duit raya pada sanak saudaranya dan juga peminat.
"Dulu saya kutip duit raya, rasanya yang paling banyak pernah saya kumpul adalah dekat RM300, itu sudah kira dahsyat dan gembira sangat.
"Tetapi tahun ini, tiba pula giliran saya bagi duit raya pada saudara dan peminat sebab saya sudah bekerja, walaupun masih baru tetapi rezeki yang ada saya mahu kongsi bersama," tutur Nadia yang akan beraya di Taiping dan Ipoh Perak.
Jelasnya lagi, raya kali ini juga dia akan berkumpul bersama rakan-rakan AF yang lain kerana di hari biasa mereka semua terlalu sibuk dan jarang berjumpa.
"Itu memang dalam perancangan, saya sudah beritahu kawan-kawan yang lain, sebab kalau hari biasa, seorang buat persembahan di utara, seorang di selatan, bila mahu jumpa.
"Sempena raya ini, kebetulan ada cuti, saya gunakan untuk menghabiskan masa dengan mereka, bolehlah kami bertukar cerita," ujarnya.
Gadis manis ini yang sibuk membantu keluarganya menjual popiah di bazar Ramadan di Setiawangsa sepanjang Ramadan lalu memberitahu, dia dan ibunya juga sangat aktif membuat kuih raya selain popiah.
"Kuih untuk makan sendiri saja, oleh sebab saya sukakan kuih Jem Tart dan Almond London, saya pun mahu mencubanya sendiri.
"Mama pernah bagi duit untuk saya beli barang buat kuih dan kononnya pandai sangat, saya pun buatlah sendiri, lepas itu, satu apa pun tidak jadi. Akhirnya kuih raya saya beli saja.
"Sejak itu saya hanya jadi pembantu mama saja, tidak pernah buat sendiri, nanti tidak jadi membazir saja, habis masa dengan duit. Itu belum masuk bab kena marah lagi (ketawa)," tutur Nadia.
Riz terlebih bajet?
Walaupun sibuk dengan kerjaya barunya sebagai penyanyi, tetapi apabila lebaran tiba, ia bukannya halangan buatnya untuk pulang berhari raya di kampung halamannya di Grik, Perak.
"Mana boleh tidak balik, suasananya lainlah. Kalau di kampung saya berkumpul satu keluarga, riuh rendah jadinya, itu belum campur kawan-kawan yang akan datang ke rumah.
"Lagipun, di kampung bolehlah saya makan makanan yang enak-enak, lemang, ketupat dan rendang, memang makanan yang akan saya layan. Saya ini boleh tahan juga kuat makan, kiranya nanti saya akan makan berulang-ulang tidak ikut waktu sampai puas (ketawa), ujar Riz tanpa selindung.
RIZ antara jejaka yang sedang membina nama di persada seni tempatan.
Selain itu, Riz yang menyediakan tiga pasang baju Melayu untuk raya kali ini berkata, tahun ini dia merasakan sambutan raya berbeza kerana, dia harus memberi duit raya lebih daripada kebiasaannya.
"Kalau dulu, keluarga saja, sekarang ini peminat ada yang datang rumah mestilah saya kena bagi duit raya, jadi bajet pun lebih jugalah (ketawa).
"Apa pun, rezeki yang saya terima harus dikongsi bersama, selain dengan keluarga, peminat merupakan tulang belakang saya dalam kerjaya, saya rasa inilah masa saya membalas jasa mereka," kata Riz lagi.
Nostalgia Ramadan 2008
Sebelum menyambut Syawal umat Islam terlebih dahulu menyambut bulan Ramadan dan diwajibkan berpuasa selama sebulan, begitu juga dengan Riz yang tidak ketinggalan menyambut ibadah puasa.
Biarpun Ramadan sudah berlalu dan kini diganti dengan Syawal, namun Riz tidak melupakan nostalgia manis Ramadan kali ini.
Seperti juga raya, puasa tahun ini juga memberi pengalaman yang cukup berbeza buatnya. Katanya jika dulu, dia boleh saja berbuka di mana-mana termasuk di tepi-tepi jalan, tetapi kini semuanya hanya tinggal kenangan saja.
"Bukan apa, dulu saya berbuka dengan kawan-kawan, tidak kisahlah dimana-mana pun asalkan sedap dan murah, tetapi tahun ini saya banyak jemputan berbuka puasa, jadi tidak sempat berbuka dengan kawan-kawan.
"Rindu juga zaman sebelum bergelar artis, saya bebas ke mana-mana dan dengan siapa saja, sekarang ini tidak boleh lagi. Semuanya harus di jaga dan diteliti, sebab ada saja mata yang memandang," jelas Riz lagi.
Bagaimana pun Riz tidak pernah menyesal dengan pilihannya kerana menjadi seorang penyanyi merupakan kerjaya idaman yang diimpikan selama ini.
"Walaupun kena kawal dan mengawal tingkah laku, saya tidak kisah dan tidak pernah merasa rimas. Sebaliknya saya akui seronok apabila mendapat perhatian seperti ini, tetapi jangan terlebih-lebih sudahlah.
"Sungguhpun baru lima bulan menjadi artis, saya telah mengalami pelbagai kenangan bersama peminat yang saya tidak boleh lupa. Ada yang tarik baju, ada juga yang minta nombor telefon.
"Sebagai artis, saya cuba melayan peminat sebaik mungkin, kerana saya faham bila jadi artis hak peribadi saya hilang, tetapi saya harap peminat harus memahami saya juga manusia biasa saja, kalau ada salah silap harap dimaafkan," balas Riz lagi.
INFO & PIC CREDIT TO : KOSMO
0 comments:
Post a Comment