Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
Majlis rumah terbuka Nadia di dewan berhampiran rumahnya bagaikan pertemuan semula pelajar AF6
GAMBAR kenangan pertemuan semula bintang AF6 termasuk pembantu residen mereka, Syafik dan Maria.
Lebih 300 tetamu terdiri daripada peminat, kenalan dan rakan taulan termasuk rakan AF6 sudi berkunjung ke rumah terbuka Nadia. Melihat kepada kehadiran bekas graduan AF6 seperti Mama Rina, Saida, Yana, Ika, Alif, Naim dan jejaka bermata romantik yang sering digosipkan dengan Nadia, ia umpama majlis pertemuan semula yang cukup membahagiakan.
“Terharu Nadia dengan kedatangan mereka biarpun sibuk menghadiri majlis rumah terbuka yang lain. Pembantu Residen AF6, Syafik dan Maria pun turut hadir. Selain itu, guru vokal, Cikgu Syafi, Along Raja Lawak dan anggota kumpulan 6ixth Sense pun sudi meluangkan masa,” kata Nadia memulakan perbualan di hujung talian.
Majlis yang sepatutnya bermula pada jam lapan malam, hanya berjaya disempurnakan pada jam sembilan malam. Memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi, Nadia tidak menang tangan melayan tetamu yang hadir. Biarpun penat, ternyata Nadia tersenyum puas dan masih mampu menghiburkan tetamu dengan beberapa seleksi lagu.
NADIA bersama adik tersayang, Diana Syazwani
Pada majlis itu, Nadia menyanyikan empat lagu iaitu Menghitung Hari, Mencintaimu, Simply The Best dan Sweet Child Of Mine. Mama Rina bersedia melontarkan vokal serak-serak basahnya mendendangkan lagu Selamat Hari Raya dan Give Me One Reason.
“Paling seronok apabila Nadia dapat membuat persembahan diiringi kugiran lama Nadia iaitu Lords Justice. Sejak jam 10 pagi, Nadia dan keluarga berkampung di Dewan Menara Sri Jati. Selain menggunakan khidmat katering, keluarga Nadia turut bergotong-royong menyiapkan menu terbaik untuk santapan tetamu.
“Menu istimewa yang disediakan pada malam itu semestinya popia Redah Jerr, roti jala, bubur durian, lontong, kuih raya, nasi beriani, ketupat dan rendang. Nadia rasa seronok sangat dapat sama-sama menyediakan juadah untuk hidangan semua,” kata Nadia.
Guna peluang sebaik mungkin
MENGENAI perkembangan seninya, umum sudah maklum yang Nadia mengikat kontrak bersama Maestro selama tiga tahun.
RIZ dan Mama rina turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Nadia
Meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada syarikat itu, Nadia menyedari yang dia sebenarnya tidak boleh sangat bergantung harap sebaliknya perlu bijak untuk memasarkan dirinya secara sendiri.
Selain menyanyi, Nadia juga berminat melebarkan dunia seninya dengan berlakon dan menjadi pengacara. Baru-baru ini, Nadia menjalani uji bakat menjadi pengacara bagi sebuah program terbitan TV9. Nadia juga sudah menunjukkan bakatnya berlakon dalam telefilem Corat Coret Aidilfitri AF6 pada musim raya lalu.
“Apa saja peluang yang datang di depan mata akan Nadia gunakan sebaik mungkin. Pada saat pasaran seni tidak menentu, Nadia tidak boleh selektif dan terlalu ‘demand’, seharusnya Nadia bersyukur dengan setiap peluang dan rezeki yang datang.
“Nadia juga baru saja menjalani rakaman sebuah lagu runut bunyi untuk filem Histeria terbitan Tayangan Unggul,” kata Nadia mengakhiri perbualan.
INFO: Nadia
Menghiasi muka depan Hip sebanyak dua kali. Kali pertama dengan gaya fesyen Harajuku dan kali kedua bersama Riz sewaktu menghadiri rakaman Melodi Raya 2008.
Sering diusik menjalinkan hubungan cinta dengan Riz. Bagaimanapun, masing-masing menafikan ada rona cinta, sebaliknya hubungan mereka tidak lebih sekadar kawan dan umpama abang dan adik.
Mempunyai seorang adik yang tinggi daripadanya bernama Diana Syazwani.
Mempunyai suara serak-serak basah.
Info & Pic Credit : Berita Harian
0 comments:
Post a Comment